Archives

TANPA HIJAB, WANITA LEBIH CANTIK!

Inilah pegangan yang diracuni oleh Iblis ke dalam pemikiran dan hati kaum wanita. Semua ini mengandungi anak panah yang sedia untuk menembus mata dan hati serta syahwat kaum lelaki dan akhirnya mereka terpedaya dengan sumpah Iblis. Iblis juga telah berjanji untuk mendatangi kaum Adam dari pelbagai sudut bagi membolehkan sesuatu perkara dosa atau maksiat itu dilihat seolah-olah tiada cacat celanya!

Pada tahap ini, Iblis telah menggoda wanita bahawa, dengan adanya hijab, kecantikan, keaslian, keistimewaan diri wanita itu tidak akan terserlah jika mereka terus-menerus menutupi diri mereka dengan hijab. Mereka harus membuka dan menghias diri mereka secantik mungkin bagi meningkatkan keyakinan serta penampilan mereka pada pandangan mata kaum lelaki agar mudah diterima. Jika mereka masih menutup badan, mereka akan dikatakan sebagai ketinggalan zaman dan tidak maju! Inilah kekeliruan yang dibisikkan dalam hati kaum Hawa.

Zaman demi zaman, cara dan gaya kehidupan manusia berubah dan fesyen turut berubah! Maka wanita turut berubah atas nama fesyen! Inilah yang berlaku kepada kaum Hawa yang terpedaya dengan bisikan Iblis di hatinya! Berbeza pula dengan seorang wanita atau sekolompok kaum Hawa yang masih mengekalkan cara berpakaian dengan mengenakan hijab. Mereka tetap berpegang teguh dengan prinsip walaupun fesyen berubah! Inilah yang dikatakan sebagai ikan di lautan tetap tidak akan masin walaupun keseluruhan air laut itu masin. Walau apa pun keadaan yang berubah, mereka tetap berpegang kepada prinsip dan inilah kaum yang tidak terpedaya dengan bisikan Iblis.

385959_192539937506031_151047751655250_397644_1701174880_n

Namun yang demikian, sumpah Iblis ini adalah satu sumpah yang serius dan ianya begitu besar maknanya bagi Iblis. Mereka tidak akan berhenti dari terus membisikkan ke dalam hati  kaum Hawa. Akhirnya, Iblis akan membisikkan seperti ini kepada kaum Hawa untuk membawa sekali kaum Adam ke lembah maksiat dengan mengatakan,

“Tak mengapakan jika kita mengangkat sedikit kain di bahagian pergelangan tangan hingga ke siku! Bukankah tapak tangan boleh dilihat dan lelaki sudah biasa melihat  tapak tangan perempuan. Barulah nampak cantik. Gaya fesyen muslimah terkini. Tengok! Kan tiada apa-apa kesan. Lelaki biasa sahaja jika melihat bahagian lengan hingga ke siku!”

Apabila pergelangan tangan hingga ke siku sudah biasa dibuka, maka datang lagi bisikan yang seterusnya,

“Bahagian sudah lama dibuka. Sudah biasa. Masih tidak ada apa-apa kesan kepada sesiapa pun. Sekarang, suhu di negara kita panas. Jika kita sering menutup bahagian leher kita, maka kita akan berasa tidak selesa dan panas! Jika kita buka di bahagian leher, maka kita tidak akan berasa panas malah lebih selesa untuk bergerak ke mana-mana!”

Maka, fesyen terbaru dipakai oleh golongan Hawa atas alasan panas di dunia. Bermulalah episod membuka di bahagian leher dan kemudian kaum lelaki mula melihat dengan jelingan yang ringan di bahagian leher kaum wanita.

Suara itu terus berbisik lagi dengan mengatakan,

“Banyak lagi fesyen-fesyen terbaru yang ada di pasaran! Tidak mahukah kita ingin mencubanya?! Rugi kalau kita tidak mencubanya sebab fesyen terkini akan membuatkan kita berasa lebih yakin dengan diri kita!”

Maka bisikan itu dibeeli oleh hati yang sudah lama dibiarkan dengan bisikan Iblis. Akhirnya, wanita hari ini berpakaian tetapi hakikatnya telanjang! Inilah bisikan yang terus-menerus, bertimpa-timpa kepada kaum wanita sehinggakan mereka ditelanjangi oleh Iblis! Jika wanita sudah ditelanjangi, apakah reaksi kaum lelaki? Adakah mereka mampu bertahan dengan keadaan wanita hari ini yang sudah ditelanjangkan oleh iblis? Bukankah itu ruang yang sudah diselesaikan oleh Iblis untuk kaum lelaki melakukan maksiat mata, tangan, hati, kemaluan dan semuanya dengan wanita! Betapa ramainya wanita yang sudah ditelanjangkan oleh Iblis!

Disediakan untuk lelaki juga dibisikkan kepada hatinya dengan berkata,

“Engkau tak mahu tengokkah perempuan itu? Dia kan sudah bersedia dilayani oleh engkau! Tak ada siapa yang tahu. Lihatlah di bahagian lehernya yang putih itu. Lihatlah kulit putih dan gebu perempuan itu. Dia sedang menunggu respons dari kamu!”

Bukankah bisikan ini bisikan yang paling sukar untuk ditolak oleh semua lelaki kecuali mereka yang diberikan kekuatan.

(Daripada buku ‘Bila Zina Menjadi Budaya’)

Begitulah sedikit perkongsian yang ingin kami kongsi daripada buku tersebut. Betapa liciknya syaitan dalam membisikkan dusta dalam hati kita.

582787_3397583864505_1695978396_n

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian yang tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai terutamanya kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bahawa antara golongan yang akan diazab oleh Allah dalam api neraka adalah golongan perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita-wanita yang memakai pakaian dengan mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. Salah seorang ulama’ terkenal iaitu Sheikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin  ketika mengulas hadith ini beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian yang ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian daripada tubuh badannya yang telah dilarang oleh syariat Islam.

Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat redha Allah. 🙂

Advertisements

KEISTIMEWAAN BERTUDUNG LABUH

Tudung Labuh – Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no 21.

Bacaan ini bukanlah menggalakkan kita menjadi judgmental. Diharap dapat baca dengan hati yang terbuka. Semoga bacaan ini dapat “put things into perspective” buat kita dalam menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama, insyaAllah.

Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.

Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.

Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.

Yang Tertutup Itu Indah

Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”

Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.

Istimewa Bertudung Labuh

Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.

Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.

Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.

Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.

Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.

Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!

Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.

Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?

Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.

Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.

Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

RENUNGILAH DUHAI WANITA

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. ( al-Nur : 31)

Menurut Syeikh al-Maududi, terdapat 3 pengertian tabarruj :

1)      Menampakkan keelokan wajah dan bahagian tubuh yang boleh membangkitkan nafsu syahwat di hadapan lelaki ajnabi.

2)      Mempamerkan pakaian dan perhiasan yang indah di hadapan ajnabi.

3)      Mempamerkan diri dan berjalan dengan lenggang-lenggok di hadapan kaum lelaki yang bukan muhrim.

Sabda Rasulullah S.A.W. :

 “wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya telanjang untuk mencari perhatian lelaki, yang melenggang-lenggokkan tubuhnya, yang kepalanya seperti punuk unta, mereka itu takkan masuk syurga” (Riwayat Muslim)

Pendedahan aurat adalah merupakan pendahuluan kepada zina!! Sebab itu wanita,gadis,muslimah dan perempuan diwajibkan menutup auratnya daripada dilihat oleh ajnabi. Perintah Allah s.w.t. juga mewajibkan kaum Hawa menutup aurat mereka.

Nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya..

Akal mengatakan wanita cantik atas dasar ilmu dan kepandaiannya..

Hati mengatakan wanita cantik atas dasar akhlaknya..

KENAPA PERLU MENUTUP AURAT???

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka berjilbab (bertudung dan berpakaian labuh) menutupi tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (33:21)
Berdasarkan ayat di atas, ALLAH telah jelas menyatakan perihal mengapa wanita wajib berjilbab (bertudung dan berpakaian labuh yang menutupi tubuh mereka dengan sempurna).
Kenapa?? Kerana :
1. Sebagai lambang bahawa mereka adalah wanita yang beriman dan bertaqwa. Wanita yang sentiasa beriman dan taat, pasti akan sentiasa mengikuti apa sahaja yang diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul-NYA dan meninggalkan sebarang perkara yang dilarang di dalam agamanya (Islam). Berbeza dengan mereka yang tidak beriman (tanpa mengira lelaki mahupun wanita), mereka amat engkar dengan perintah ALLAH dan Rasulullah.
muslimah
2. Berupaya mengelakkan gangguan daripada golongan yang berhati jahat. “kerana itu mereka tidak di ganggu”. Bagi point yang kedua ini, saya ingin membawakan satu perumpamaan. Andainya kita seorang lelaki dihidangkan dengan satu “show” yang menayangkan wanita dengan keadaan yang amat menghairahkan (seksi), sudah tentu nafsu syahwat si lelaki akan terangsang sekaligus mencetuskan satu niat yang jahat untuk “mendapatkan” wanita yang dilihatnya itu atau pun wanita lain yang seumpamanya bagi tujuan nafsunya.
Tapi, berbeza pula jika kita sebagai lelaki diperlihatkan dengan wanita-wanita solehah yang sentiasa menjaga adabnya sebagai seorang muslimah yang mana lengkap berjilbab. Pasti sejuk mata memandang lalu mampu mendetikkan rasa keinsafan (malu) dalam diri si lelaki. Begitulah hakikatnya peranan jilbab mampu mencegah hati-hati manusia yang berniat jahat.
3. Membezakan sama-ada wanita itu muslim atau non-muslim. “supaya mereka lebih mudah untuk dikenal” Sebagai seorang wanita muslim, sewajibnya mereka menutup aurat dan bertudung. Yang dengan itu, sekaligus membezakan mereka dengan gaya orang yang bukan muslim. Dan berdasarkan Tafseer Ibn Katheer, jilbab membezakan di antara wanita hamba dengan wanita yang merdeka di mana orang yang merdeka wajib bertudung. Manakala dalam tafsiran yang lain, dinyatakan bahawa pemakaian tudung dan penutupan aurat melambangkan dia adalah wanita yang bertamadun kerana tahu menjaga kehormatannya.
4. Jilbab (menutup aurat) mampu menghalang pelbagai penyakit kulit. Menurut kajian saintifik terkini membuktikan bahawa kulit wanita adalah lebih sensitif berbanding kulit lelaki. Maka oleh kerana itulah, kulit wanita memerlukan sistem penjagaan yang lebih rapi dan baik berbanding kulit lelaki. Dengan keadaan zaman sekarang ini yang mana, persekitaran kita begitu berbahaya dengan pelbagai jenis pencemaran yang melanda.
MUSLIMAH SEJATI

be a true muslimah

Renungan:
Ingatlah rakan-rakan wanita ku. Jika anda menganggap pakaian “haram” yang anda peragakan itu lebih cantik daripada pakaian yang disarankan oleh ALLAH, maka sebenarnya anda telah cuba menyatakan bahawa pakaian yang disarankan oleh ALLAH itu adalah tidak cantik. Maka, di masa anda menyatakan demikian (ditambah anda mempraktikkannya) , maka anda di saat itu sedang melakukan suatu kesyirikan yang tidak kurang besarnya, dan menunjukkan anda sungguh berani kerana perbuatan anda itu sebenarnya menunjukkan anda sedang melawan (memprotes) ALLAH. Na’uzubillah.
WALLAHU‘ALAM

WANITA SOLEHAH

wanita

wanita solehah

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.
Keayuan wanita solehah itu,
tidak terletak pada kecantikan wajahnya ,
Kemanisan wanita solehah ,
tidak terletak pada kemanjaannya,
Daya penarik wanita solehah itu ,
Bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin,
Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu ,
Bukan dan tidak sama sekali,
Kepetahan wanita solehah ,
Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.

Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam,
Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandai dari segala aspek ,
Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya,
Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.

Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran ,
Kerna satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman ,
Agar diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat ilahi,

Wahai wanita jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai ,
Kerna ada lagi manusia yang lebih berpegetahuan darimu ,
Wahai wanita jangan pula berdukacita atas kekurangan dirimu,
Kerna ada lagi insan yang lebih malang darimu ,
Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya ,
Bersyukurlah diatas apa yang ada .
Serta berusaha demi keluarga ,bangsa dan agama.

WANITA HIASAN DUNIA,SEINDAH HIASAN ADALAH WANITA SOLEHAH

WANITA DALAM BAB PEMAKAIAN

  • Pakaian yang dipakai oleh wanita hendaklah selaras dengan apa yang telah ditetapkan oleh hukum syarak seperti berikut :
  1. Pakaian hendaklah menutup seluruh badannya. Melainkan yang kelihatan dari zahir yang mengikut tafsirannnya muka dan tangan.
  2. Pakaian yang dipakai janganlah yang dibuat daripada kain yang jarang, yang boleh membayangkan susuk badan daripada sebelah dalam pakaian tersebut. Sabda Nabi bermaksud : “Antara penghuni-penghuni neraka ialah wanita yang memakai baju tetapi masih bertelanjang, menggoda dan digodai. Mereka ini tidak akan masuk syurga malah bau syurga pun tidak akan sampai kepada mereka.”
  3. Pakaian tidak boleh terlalu ketat. Hingga menunjukkan potongan badannya terutama sekali dibahagian badan yang montok seperti bahagian dada, pinggang, punggung dan sebagainya walaupun pakaian yang dipakainya itu tidak jarang.
  4. Wanita tidak boleh memakai pakaian yang dibuat khas untuk lelaki.
  5. Tidak boleh meniru pakaian wanita bukan Islam kerana Islam mempunyai ciri-cirinya sendiri dari segi penampilan diri, kepercayaan dan sikap. Sabda Nabi SAW bermaksud ; “sesiapa meniru sesuatu bangsa lain,maka ia adalah bangsa itu”
  6. Wanita Islam berjalan dan bercakap dengan penuh hormat, sopan dan tegas, mengelakkan diri daripada menunjukkan wajahnya persis seorang penggoda. Bergurau senda dan telatah menggoda adalah perangai wanita yang rosak moralnya. Sifat ini tidak layak dimiliki oleh wanita Islam seperti firman Allah SWT bermaksud : “janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja(semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya(menaruh tujuan buruk kepada kamu)……“-Al-Ahza:32
  7. Tidak menarik perhatian lelaki dengan perhiasannya yang tersorok, memakai bau-bauan, menggoyang atau memainkan perhiasannya atau perbuatan seumpamanya. Firman Allah SWT bermaksud : “dan janganlah menghentakkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” -an-Nur:31. Wanita jahiliah menghentakkan kaki apabila berjalan dihadapan lelaki agar gelang kakinya akan berbunyi dan didengari serta menarik perhatian lelaki dan menaikkan nafsu mereka juga dilarang. Sabda Nabi SAW bermasud : “seorang wanita yang memakai bau-bauan lalu berjalan di khalayak ramai itu merupakan seorang penzina.”

AURAT WANITA FROM AL-QURAN DAN HADIS

1. Bulu kening
-Menurut Bukhari, “Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.” Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
-“Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
-“Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada
-“Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)

5. Gigi
-‘Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.’ (Riwayat At-Thabrani)
-“Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: ‘Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan
-“Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya”(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

aurat18. Mata
-“Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya.” (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)
-“Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi.” (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan
-“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. “(An Nur : 31).
-“Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya.” (Riwayat Al Bazzar).
-“Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian
-“Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-“Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

-“Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).

12. Rambut
-“Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

tutup aurat