SALAM RAMADHAN DARIPADA KAMI

Assalamualaikum.. Kami mohon maaf atas sebab-sebab tertentu, dah agak lama kami tak update blog ini. Banyak juga persoalan yang ditinggalkan, kami baru dapat menjawabnya hari ini. Maaf sekali lagi. Ada sesetengah persoalan yang memerlukan jawapan yang agak panjang, jadi, insyaAllah, kami akan masukkan dalam entri terbaru nanti. Doakan ya.

InsyaAllah, lepas ni, kami akan lebih tersusun. Setiap admin akan berusaha untuk menjayakan blog Dr Dakwah Remaja ini. Moga Allah redha kita semua.

Akhir kalam, selamat berpuasa. Mari sama-sama kita rebut peluang dan ganjaran di bulan mulia ini.🙂

BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH S.A.W.

 Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab :: 56 yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai, orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya..”

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada ia mencintai anaknya, ibu bapanya dan manusia semuanya.”

-HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’I dan Ibn Majah

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi SAW.”

-HR Ad-Dailami

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku.”

-HR An-Nasa’I dan Ibn Hibban

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.”

-HR Thabarani

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku di sisi kuburku, maka aku mendengarnya. Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh satu malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupkan urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.”

-HR Al-Baihaqi dan Al-Khatib

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.”

-HR Ad-Dailami

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari umatku, maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh kejahatan.”

-HR Ibn Hibban

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.”

-HR Ahmad, Nasa’I dan Al-Hakim

 

Rasulullah SAW bersabda daripada Ubai bin Ka’ab:

Aku bertanya, “Wahai, Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku?” Nabi bersabda : “Apa yang kamu kehendaki?” Ia berkata : kataku : “Seperempat”. Sabda Nabi : “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah, maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku, “Apakah sepertiga?” Sabda Nabi : “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah, maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Ia bertanya, “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya?” Nabi bersabda : “Jika demikian, maka cukupkanlah cita-citamu dan diampuni dosamu

-HR Ahmad, Tirmidzi dan Al-Hakim

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.”

-HR Muslim

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku A’zzawajalla, maka dia (Jibril) berkata : Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari umatmu, Allah mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya..”

-HR Ahmad

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (pengheningan jiwa pembersih dosa) bagimu.”

-HR Ibn Murdawaih

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat seratus kali, maka ia datang pada hari kiamat dengan cahaya. Sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya, maka cahaya itu akan memenuhinya.”

-HR Ibn Nu’aim 

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah SWT akan mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya.”

-HR Ibn Najar dari Jabir

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan Syurga.”

-HR Abus Syaikh dari Anas

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku, tidak membaca selawat kepadaku.”

-HR Tirmidzi

 

Rasulullah SAW bersabda :

“Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.”

-HR Tirmidzi

 

TANPA HIJAB, WANITA LEBIH CANTIK!

Inilah pegangan yang diracuni oleh Iblis ke dalam pemikiran dan hati kaum wanita. Semua ini mengandungi anak panah yang sedia untuk menembus mata dan hati serta syahwat kaum lelaki dan akhirnya mereka terpedaya dengan sumpah Iblis. Iblis juga telah berjanji untuk mendatangi kaum Adam dari pelbagai sudut bagi membolehkan sesuatu perkara dosa atau maksiat itu dilihat seolah-olah tiada cacat celanya!

Pada tahap ini, Iblis telah menggoda wanita bahawa, dengan adanya hijab, kecantikan, keaslian, keistimewaan diri wanita itu tidak akan terserlah jika mereka terus-menerus menutupi diri mereka dengan hijab. Mereka harus membuka dan menghias diri mereka secantik mungkin bagi meningkatkan keyakinan serta penampilan mereka pada pandangan mata kaum lelaki agar mudah diterima. Jika mereka masih menutup badan, mereka akan dikatakan sebagai ketinggalan zaman dan tidak maju! Inilah kekeliruan yang dibisikkan dalam hati kaum Hawa.

Zaman demi zaman, cara dan gaya kehidupan manusia berubah dan fesyen turut berubah! Maka wanita turut berubah atas nama fesyen! Inilah yang berlaku kepada kaum Hawa yang terpedaya dengan bisikan Iblis di hatinya! Berbeza pula dengan seorang wanita atau sekolompok kaum Hawa yang masih mengekalkan cara berpakaian dengan mengenakan hijab. Mereka tetap berpegang teguh dengan prinsip walaupun fesyen berubah! Inilah yang dikatakan sebagai ikan di lautan tetap tidak akan masin walaupun keseluruhan air laut itu masin. Walau apa pun keadaan yang berubah, mereka tetap berpegang kepada prinsip dan inilah kaum yang tidak terpedaya dengan bisikan Iblis.

385959_192539937506031_151047751655250_397644_1701174880_n

Namun yang demikian, sumpah Iblis ini adalah satu sumpah yang serius dan ianya begitu besar maknanya bagi Iblis. Mereka tidak akan berhenti dari terus membisikkan ke dalam hati  kaum Hawa. Akhirnya, Iblis akan membisikkan seperti ini kepada kaum Hawa untuk membawa sekali kaum Adam ke lembah maksiat dengan mengatakan,

“Tak mengapakan jika kita mengangkat sedikit kain di bahagian pergelangan tangan hingga ke siku! Bukankah tapak tangan boleh dilihat dan lelaki sudah biasa melihat  tapak tangan perempuan. Barulah nampak cantik. Gaya fesyen muslimah terkini. Tengok! Kan tiada apa-apa kesan. Lelaki biasa sahaja jika melihat bahagian lengan hingga ke siku!”

Apabila pergelangan tangan hingga ke siku sudah biasa dibuka, maka datang lagi bisikan yang seterusnya,

“Bahagian sudah lama dibuka. Sudah biasa. Masih tidak ada apa-apa kesan kepada sesiapa pun. Sekarang, suhu di negara kita panas. Jika kita sering menutup bahagian leher kita, maka kita akan berasa tidak selesa dan panas! Jika kita buka di bahagian leher, maka kita tidak akan berasa panas malah lebih selesa untuk bergerak ke mana-mana!”

Maka, fesyen terbaru dipakai oleh golongan Hawa atas alasan panas di dunia. Bermulalah episod membuka di bahagian leher dan kemudian kaum lelaki mula melihat dengan jelingan yang ringan di bahagian leher kaum wanita.

Suara itu terus berbisik lagi dengan mengatakan,

“Banyak lagi fesyen-fesyen terbaru yang ada di pasaran! Tidak mahukah kita ingin mencubanya?! Rugi kalau kita tidak mencubanya sebab fesyen terkini akan membuatkan kita berasa lebih yakin dengan diri kita!”

Maka bisikan itu dibeeli oleh hati yang sudah lama dibiarkan dengan bisikan Iblis. Akhirnya, wanita hari ini berpakaian tetapi hakikatnya telanjang! Inilah bisikan yang terus-menerus, bertimpa-timpa kepada kaum wanita sehinggakan mereka ditelanjangi oleh Iblis! Jika wanita sudah ditelanjangi, apakah reaksi kaum lelaki? Adakah mereka mampu bertahan dengan keadaan wanita hari ini yang sudah ditelanjangkan oleh iblis? Bukankah itu ruang yang sudah diselesaikan oleh Iblis untuk kaum lelaki melakukan maksiat mata, tangan, hati, kemaluan dan semuanya dengan wanita! Betapa ramainya wanita yang sudah ditelanjangkan oleh Iblis!

Disediakan untuk lelaki juga dibisikkan kepada hatinya dengan berkata,

“Engkau tak mahu tengokkah perempuan itu? Dia kan sudah bersedia dilayani oleh engkau! Tak ada siapa yang tahu. Lihatlah di bahagian lehernya yang putih itu. Lihatlah kulit putih dan gebu perempuan itu. Dia sedang menunggu respons dari kamu!”

Bukankah bisikan ini bisikan yang paling sukar untuk ditolak oleh semua lelaki kecuali mereka yang diberikan kekuatan.

(Daripada buku ‘Bila Zina Menjadi Budaya’)

Begitulah sedikit perkongsian yang ingin kami kongsi daripada buku tersebut. Betapa liciknya syaitan dalam membisikkan dusta dalam hati kita.

582787_3397583864505_1695978396_n

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian yang tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai terutamanya kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bahawa antara golongan yang akan diazab oleh Allah dalam api neraka adalah golongan perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita-wanita yang memakai pakaian dengan mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. Salah seorang ulama’ terkenal iaitu Sheikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin  ketika mengulas hadith ini beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian yang ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian daripada tubuh badannya yang telah dilarang oleh syariat Islam.

Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat redha Allah.🙂

INTERAKSI POSITIF MELALUI DAKWAH

Assalamualaikum semua.🙂

Saya wakil daripada Admin blog ini, ingin memohon maaf sebab kami dah lama tak update blog kan? Maaf sebab ada masalah teknikal sikit di samping kami dah mula sibuk dengan study. Belajar-belajar juga, sebarkan kebaikan jangan dilupa! Betul tak? ^^

Hari ini, saya, Admin 2, ingin berkongsi satu tajuk iaitu Bagaimana Mewujudkan Interaksi Positif Melalui Dakwah.🙂

Pada pandangan saya, terdapat pelbagai cara untuk kita berdakwah bagi menghasilkan interaksi yang positif. Kebanyakan aktiviti, memerlukan kita untuk saling memerlukan, bantu-membantu serta interaksi antara satu sama lain. Jika dahulu, hanya ada satu radio kotak kayu di kampung. Oleh sebab itu, untuk mendengar radio, semua orang harus bertemu dan berkumpul. Maka, di situ interaksi akan berlaku.

Namun, kini suasana itu telah digantikan dengan Ipod atau Walkman yang menyumbatkan telinga setiap pemilik untuk berada di dunianya sendiri, terpisah daripada segala yang berada di sekeliling. Ianya menghalang interaksi antara satu sama lain.

Pandangan saya, ketiadaan interaksi akan menghilangkan cermin bagi seseorang untuk meneroka potensi dirinya. Sama ada dirinya sentiasa ‘perasan bagus’ atau tenggelam dalam kelemahan kerana gagal mengeluarkan potensi diri yang sebenar.

Oleh itu, Islam mengangkat interaksi dan pergaulan yang menjadi keperluan fisiologi, emosi, mental dan spiritual ini sebagai tuntutan agama. Interaksi di angkat sebagai amal yang afdhal bagi setiap Mukmin. Sabda Nabi Muhamad SAW, “Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”

Saya ada membaca, satu kajian yang telah dibuat. Mereka menyatakan masyarakat kini tidak lagi menghiraukan orang lain dan mereka lebih gemar hidup dalam dunia mereka sendiri. Persaudaraan sesama keluarga menjadi lebih renggang. Ramai orang lebih selesa hidup sendirian sambil melayan teman mereka di dalam Facebook, Twitter dan lain-lain.

Jadi, para pendakwah seharusnya mendekati mereka dengan memasukkan diri dalam kelompok masyarakat siber mereka. Hanya dengan itu sahaja dakwah dapat disampaikan supaya ikatan persaudaraan sesama Islam menjadi lebih kukuh di samping, mesej-mesej dakwah dapat disalurkan lebih santai. Begitu juga, pada orang bukan Islam juga dengan lebih mudah.

“Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam, menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama” – Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qardhawi.

Jadi, dakwah bukan semata-mata kewajipan. Ia adalah wasilah memberi yang menghadiahkan makna hidup serta kepuasan. Dakwah bukan semata-mata akibat tekanan persekitaran dan segala faktor luaran. Tetapi ia adalah dakwah yang inside-out. Dakwah bukan stress, kerut dahi, bermasam muuka, tetapi ia boleh menjadi ceria, mendamaikan juga menenangkan. Dakwah itu boleh jadi menyeronokkan.

Firman Allah yang bermaksud :

” Serulah (manusia) kepada jalan TuhanMu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara baik. Sesungguhnya TuhanMu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”.

Bukankah Nabi sudah berpesan, sampaikan walau sepotong ayat. InsyaAllah..(n_n)

Sekian. Wallahua’lam.🙂

MARI ‘WARMING-UP’ BERSAMA!

Alhamdulillah. Sudahkah kita mengucapkan kalimah syukur itu pada hari ini? ^_^

Untuk pengisian pada hari ini, kami suka nak berkongsi dengan anda untuk kita sama-sama praktikkan ‘warmin-up’ sebelum Ramadhan.😀

~ Jangan terlalu asyik dengan cinta manusia dan cinta manusia hingga kita lembik jadinya. Fikir dan bersedialah untuk cinta Allah kita. Bercinta dengan Allah, insyaAllah, tenang saja hati kita, tiada resah dan gelisah!~

 

HATIKU MILIK-MU!!

Aku manusia biasa. Cara hidupku juga biasa. Hartaku tidaklah segunung Kinabalu. Iman dan takwaku tidak sehebat seorang muslimah sejati. Kerana aku insane biasa. Datang dan lahir dari keluarga yang biasa. Namun, jauh di sudut hati ini, aku inginkan luar biasa. Aku sentiasa menanam utuh dalam kalbuku ini agar suatu saat nanti, hatiku akan lembut untuk terus istiqamah di jalan-Nya.

Ini kisahku. Kisah seorang aku bertemu Dia. Dulunya, aku seorang yang biasa. Tidak memakai tudung labuh, tidak memakai stoking dan selalu mesej dengan lelaki bukan mahram kerana mereka kawan-kawan aku. Aku suka bermesej kosong dengan mereka. Entahlah. Rasa serono kot bila selalu mesej dengan lelaki.

Semasa aku tingkatan 3, aku pernah bercouple dengan seseorang ni. Masa tu, geng-geng aku semua dah ada pakwe. Dan, aku barulah nak belajar bercouple. Aku dengan pakwe aku ni, selalulah juga mesej. Tapi, call tu, jarang-jarang. Biasalah, jiwa remaja, sibuk nak bercinta. Tapi, masa tu, aku tetap jaga batas. Tak pernah dating dan keluar berdua dengan dia. Cuma mesej dan kadang-kadang call saja.

Sebelum PMR, hati aku ni bertemu dengan hidayah-Nya. Aku terjumpa satu risalah dakwah tentang cinta. Aku baca dengan hati yang sarat inginkan jawapan kepada persoalan-persoalan aku selama ini. Apakah bercouple itu satu kesalahan? Salahkah aku dan dia bercinta? Aku jumpa setiap jawapan kepada persoalan-persoalan aku ni dalam risalah tersebut. Bukan itu saja, malah, aku turut mencari ilmu di alam maya ini. Aku baca blog-blog para daie yang aku kenal cukup hebat ilmu agamanya dan cukup mantap hujahnya. Aku mula sedar. Aku banyak melakukan dosa!

Aku mencari kekuatan untuk meninggalkan pakwe aku. Dan, aku berjaya! Aku minta untuk putus dengannya! Melalui surat. Aku rasa sangat bahagia setelah aku clash dengan dia! Dan, aku berazam dengan diriku sendiri untuk tidak bercouple lagi dengan mana-mana lelaki. Aku hanya inginkan cinta yang suci dan halal untuk suamiku nanti!

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (al-Isra: 32)

Semasa di tingkatan 4, hidayah-Nya semakin mendapat tempat di hatiku. Aku sebenarnya amat tertarik dengan penampilan para muslimah yang bertudung labuh. Ya! Memang aku teringin sangat nak istiqamah pakai tudung labuh! Bukan hanya pakai di sekolah sahaja!

Seorang ustaz baru di sekolah aku sedikit sebanyak melembutkan hatiku untuk berubah ke arah kebaikan. Beliau cuba menghidupkan suasana Islamik di sekolah aku tu. Aku suka! Ceramah dan tazkirah kerapkali berjalan di sekolah itu. Risalah-risalah dakwah juga sering dipamerkan dan dijadikan bahan rujukan untuk para pelajar. Aku juga mula rajin membaca buku-buku agama.

Aku bergaul dengan geng-geng yang aku baru kenali. Aku bercampur dengan sahabat-sahabat yang sama-sama berusaha denganku mencari cahaya-Nya. Sedikit demi sedikit, aku mula berubah. Aku membeli tudung 60 inci. Aku juga sudah selesa memakai stokin. Tidak ramai ahli saudara-maraku yang bertudung labuh. Hanya ada beberapa sahaja. Iaitu ahli keluarga sebelah bapa. Ahli keluarga sebelah ibu pula, langsung tiada. Hanya ibu sahaja. Kakakku juga tidak bertudung labuh. Hanya tudung biasa. Aku sematkan di dalam hati. Aku akan berusaha untuk istiqamah bertudung labih bulat pula selepas ini. Aku rasa selesa! Serius!

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raf : 26)

Umurku genap 18 tahun. Semakin aku mendalami ilmu agama, mencari realiti hidup ini, aku sebenarnya sudah jatuh hati pada seseorang. Mungkin, suka. Belum lagi cinta. Aku abaikan sahaja perasaan itu. Lelaki itu bagiku memang amat istimewa. Sebab aku dan dia berkawan. Dia selalu bertanya soalan yang berkaitan dengan agama padaku. Kadang-kadang, aku juga begitu. Aku sering dan sentiasa cuba untuk tidak terlalu rapat dengannya. Sebenarnya, dia sudah ada insan istimewa di hatinya. Aku cuba untuk menyedarkannya. Aku suka dengar dia bertazkirah di surau dan mengimamkan solat di sekolah dulu. Ya! Aku suka! Sampai kadang-kadang, aku termimpikan dia. Aku malas nak layan perasaan tu. Lagipun. Aku masih belum bersedia! Masih jahil agama!

Aku biarkan saja. Kini, sudah 19 tahun umurku. Perasaan itu seakan masih ada. Hari tu, aku dan kawan-kawanku reunion. Ternyata, lelaki itu masih dengan buah hatinya. Dia benar-benar serius mungkin. Ingin bernikah. Ya Allah! Aku tahu, rasa ini perit. Namun, tak sanggup aku nak luahkan. Aku tak nak mengecewakan sahabatku sendiri. Aku tak nak dilabel perampas. So, aku abaikan dan terus abaikan. Aku terus berusaha mensolehahkan diriku. Aku percaya, Dia sudah menciptakan seseorang khas untukku. Aku sangat yakin, bahawa ada si dia yang tercipta untukku. Ya! Bukan mudah nak hapuskan rasa suka dan sayang yang pernah bertakhta dalam diam. Namun, lama kelamaan, makin aku biarkan, abaikan, ianya semakin berlalu. Apa ubatnya?? Aku cuba rajin dan sibukkan diri dengan kerja-kerja ibadah. Aku percaya dengan janji-Nya. ^^

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)….” (Surah An-Nur : 26)

Sejak umur 17 tahun lagi, aku sudah tidak bermesej dengan lelaki walaupun sekadar kawan. Kecuali, atas dasar keperluan seperti pelajaran dan perkara penting sahaja. Kerana, aku tidak mahu ada sebarang rasa yang akan tersekat di jiwaku ini.

Hingga kini, memang ada beberapa insan yang cuba mengetuk pintu hati ni. Tapi, aku tak nak! Aku tak layan! Benar, jika kita kerap merapatkan diri dengan lelaki, mudah untuk syaitan mengambil alih hati kita dan menodainya. Aku tidak mahu lalai lagi. Aku tidak mahu terleka dan terlena lagi dalam hasutan syaitan. Aku takkan sesekali mulakan sesuatu yang susah untuk aku hentikan. Alhamdulillah, aku kini sudah istiqamah bertudung labuh bulat. Memang kadang-kadang, aku dipandang pelik sebab bertudung labuh! Namun, aku abaikan mereka. Aku utamakan pandangan Yang Maha Esa.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad : 7)

Dan, kini, aku tetap meneruskan perjuanganku untuk mensolehahkan diri dan menuntut ilmu demi Allah! Aku sudah mempunyai group usrah tersendiri. Bersama para sahabatku. Aku cintakan mereka kerana Allah. ^^

Moga suatu saat nanti, bila aku sudah bersiap sedia, Dia akan menemukan aku dengan insan soleh yang juga mencintai-Nya untuk mencintai dan menikahiku. Aku abaikan segala anasir-anasir rasa yang cuba menggugat dan melemahkan hati dan jiwaku. Aku hanya inginkan satu cinta! Cinta yang halal!🙂

Perasaan ini sungguh indah! Subhanallah! Perasaan tatkala aku sudah berjaya bertemu Dia. Tuhanku. Pemilik nyawaku. Jangan Kau ambil dan tarik semula hidayah-Mu ini. Aku sangat takut dan resah untuk berjauhan dari sisi-Mu. Aku tidak mahu terhumba ke gaung Neraka-Mu gara-gara kemurkaan-Mu.

“Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Surah Maryam : 58)

Sungguh, hatiku milik-Mu, Ya Rabbi! ^^

Kisah benar,

-seorang hamba Allah-